KUALA LUMPUR – NGO yang menggelarkan diri, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) hari ini mengumumkan pembubarannya hari ini setelah Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara lima tahun, semalam.
Mursyidul Amnya, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, perjuangan mereka telah selesai apabila Anwar dipenjara.
"Ini sidang media terakhir Tibai. Saya umumkan Tibai dibubarkan secara rasmi. Kami puas hati dengan apa yang diperjuangkan selama ini," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Menurutnya, perjuangan mereka adil dan tidak melawan Anwar ketika tangan pemimpin pembangkang itu terikat.
"Tugas telah selesai. Alhamdulillah kita ada sedikit sebanyak sumbangan untuk menyedarkan rakyat," dakwanya lagi.
Ketika ditanya media kemungkinan Tibai kembali selepas Anwar bebas, bekas peguam Anwar, Datuk Zulkifli Nordin berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.
Tibai ditubuhkan oleh bekas-bekas pemimpin PKR dan dilancarkan secara rasmi pada 22 April 2012 lalu di Kelab Sultan Sulaiman.
Penubuhan Tibai disertai oleh 28 individu yang merupakan bekas pengasas PKR, antaranya Senator Mohd Ezam Mohd Noor; Senator Datuk S Nalakaruppan; bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari; Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan, Ruslan Kassim; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, Hamidzun Khairuddin; bekas pembantu Anwar, Rahimi Osman dan Ng Lum Yong.
No comments:
Post a Comment