Saturday, 14 February 2015

'Walau baru sehari, saya amat rindukan dia...'

Gambar kenangan Tuan Sabariah bersama Allahyarham ketika sama-sama menunjukkan jari yang dicalit dakwat kekal pada hari undi pada PRU 13 lalu.


PERMERGIAN insan tersayang yang berkongsi hidup selama 53 tahun sudah pasti memberi kesan hebat kepada diri seseorang, apatah lagi insan itu seorang suami penyayang yang lebih dikenali sebagai Tok Guru, juga menjadi pemimpin disayangi ramai, di dalam dan luar negara.

“Nanti abang tak dok (meninggal dunia) lepas ni, sapo nak jago Yah,” itulah kata-kata yang membuatkan hati saya sedih dan sayu apabila mengenangkan suami yang baru sehari meninggalkan saya buat selama-lamanya.

Kata-kata abang itu yang diluahkan tiga hari sebelum meninggal dunia, ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) itu saya sambut dengan senyuman, sambil memegang tangan insan yang selama ini berkongsi hidup suka dan duka dengan saya.

Sambil menggenggam tangan abang, saya kata “anak-anak kita kan ada, mereka boleh jaga saya sampai bila-bila. Abang janganlah risau,” walaupun dalam hati saya ketika itu sebak tidak terkata.

(Perasaan yang ditanggung itu diluahkan Tuan Sabariah sambil menyapu air mata dengan tisu yang dihulurkan saudara-mara yang datang menziarahi keluarganya di kediamannya).

Kini, anak-anaklah yang akan menjadi peneman saya, menghilangkan kesunyian hidup saya. Walaupun baru sehari, saya mengakui saya sangat merindui beliau.



No comments:

Post a Comment