Saturday, 27 December 2014

Rakyat Malaysia Yang Prihatin Terus Hulurkan Sumbangan Untuk Mangsa Banjir

Rakyat biasa yang menderma barangan untuk membantu mangsa banjir di pangkalan TUDM, Subang semalam.


Tersentuh dengan rayuan dari mangsa banjir yang dalam kesusahan, seluruh negara menubuhkan pasukan secara ad hoc bagi mengumpul bantuan yang pelbagai, terdiri dari pakaian dalam baru hingga ke jet ski yang dilengkapi peralatan menyelamat.

Berbeza dari pertubuhan seperti Mercy Malaysia atau Persatuan Bulan Sabit Merah, kumpulan tersebut tiada sumber segera mendapatkan helikopter atau lori mengangkut barangan yang mereka kumpul.

Dan walaupun perdana menteri semalam mengumumkan bantuan RM500 juta untuk mangsa banjir seluruh negara, ia tidak menghalang kumpulan ad hoc itu meneruskan kutipan mereka di kalangan rakan taulan dan berkongsi maklumat di Facebook, yang serta merta menjadi viral di Internet dan menerima sambutan jauh lebih menggalakkan daripada jangkaan mereka.

Demikian yang terjadi kepada Azizuddin Redzuan Lu apabila secara kasual menulis di laman Facebooknya pada Rabu, menceritakan rancangannya untuk membantu mangsa banjir Kelantan bersama rakan Ahmed Natasha, Adi Hariez dan Ally Hazran.

“Guys me n my friend is trying to help mangsa banjir kat Kelantan. We dont need money nor clothes. We need supplies. Me n my friend are buying them esok kat Mydin USJ,” tulisnya dalam gaya bahasa bercampur-campur antara Melayu dan Inggeris.

Bermula dengan kunjungan ke kedai runcit, akhirnya pada Sabtu, mereka menerima empat konsaimen ubat melalui sebuah pesawat persendirian.

Ahmed, 31, memberitahu The Malaysian Insider, idea mereka tersebar begitu cepat di Facebook, dan derma terus mencurah di pusat pengumpulan barangan sementara mereka di dewan Masjid Al-Ikhlas di SS3 Kelana Jaya.

“Kami mulakan ini kerana kami mahu lakukan lebih dari sekadar meletak status di Facebook atau berpolitik mengenainya. Melalui kawan-kawan, kami berhubung dengan kumpulan lain yang membantu dari segi logistik."

Beliau yang bekerja sebagai pengurus projek berkata, pesawat ke Kerteh itu diuruskan sekumpulan doktor yang merupakan kawan mereka.

"Semua kami lakukan sendiri, dengan bantuan pelajar universiti, dan terdapat juga para sukarela yang sudah lama terlibat dalam kerja begini yang menolong dengan menghabiskan masa beberapa jam bersama kami," katanya sambil menambah, yang menerima barangan itu di Kelantan juga merupakan kenalan mereka.

"Tetapi akhirnya, apa yang kami usahakan ini ialah sebahagian daripada apa yang dikerjakan badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih besar yang mempunyai lebih sumber. Kami juga ada kawan dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu dari segi pengangkutan," katanya.

Sementara itu, terdapat satu lagi kumpulan yang memutuskan menggunakan cuti semester mereka dengan menawarkan jet ski mereka menyelamat mangsa banjir di Kelantan.

Elisa Mohd Isa berkata, beberapa hari sebelum itu, mereka berbual mengenai hasrat membantu mangsa banjir dan ketika itu mereka mendapat idea untuk menggunakan jet ski mereka.

"Banyak kelebihannya menggunakan jet ski. Ia boleh digunakan untuk pengawasan, untuk memantau keadaan dan juga untuk usaha menyelamat. Ia lebih tahan lasak dibandingkan bot," kata Elisa, seorang pengaturcara komputer, ketika menunggu di pengkalan TUDM di Subang berdekatan Kuala Lumpur.

Katanya, jet ski mereka dilengkapi dengan peralatan menyelamat yang asas termasuk jaket keselamatan, air mineral dan tali.

"Kami baca tentang keluarga yang masih terperangkap dalam rumah mereka kerana bot tidak sampai atau terlalu bahaya untuk bot pergi ke sana. Saya rasa kami boleh bantu menggunakan jet ski," kata Elisa sambil menambah setakat ini 12 rakannya yang memiliki jet ski berjanji memberi bantuan.

Elisa berkata ini kali pertama beliau terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan.

"Kami pernah menguruskan beberapa aktiviti sebelum ini tetapi dalam keadaan bencana, ini kali pertama. Saya tiada saudara mara atau kawan di sana (mangsa banjir), tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya rasa saya perlu membantu," katanya.

Di Taman Tun Dr Ismail, aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi dan rakan-rakannya dari kumpulan FreeMarket menggunakan Facebook untuk menganjurkan kutipan derma di komunitinya.

Di pusat pengumpulan semalam – restoran Harley’s Malaysia dan Golden Valley – mereka menerima timbunan kotak-kotak dipenuhi pelbagai barangan di luar restoran itu, situasi yang disifatkan Syed Azmi "menggila."

Beliau sehingga terpaksa mengumumkan di Facebooknya yang mereka sudah menerima terlebih banyak bekalan lampin pakai buang, ketika kira-kira 1.5 tan barangan lagi sedang dalam perjalanan ke sana.

"Jadi, kami berhenti menerima lampin bayi. STOP," tulis beliau, yang terkenal di kalangan masyarakat dengan kerja-kerja amal di bawah projek yang dinamakan #tamakpahala.

Pada masa sama, di satu pusat pengumpulan lain di Damansara Performing Arts Centre (DPAC) di Damansara Perdana, kumpulan beliau juga mengumpulkan pakaian dalam baru dan bersih untuk dihulur kepada mangsa banjir.

Seperti Azizuddin dan kumpulannya, pasukan Syed Azmi juga bekerjasama dengan NGO lebih besar yang mempunyai lebih sumber dalam hal logistik dan sebuah trak polis dijangka membantu mengangkut barangan itu dari restoran ke lapangan terbang.

"Kami bukan pakar, kami tiada duit dan bukan anggota sebarang pergerakan atau ada kabel tertentu. Kami hanya orang biasa macam kamu semua. Kami percaya dengan keikhlasan, ketelusan dan berterus terang tanpa sebarang agenda tersembunyi," tulis Syed Azmi, seorang ahli farmasi.

"Ini projek sewaktu krisis dan sebaik ia selesai, kami doa sungguh-sungguh supaya kami benar-benar berjaya membawa perubahan. Diiktiraf atau tidak, usaha kami tidak berakhir di sini."

Pada masa sama, pentadbir laman web kemasyarakatan I Love Kuala Krai (ILKK) yang tidak mahu dikenali juga melancarkan kutipan derma bagi mangsa banjir dan memberi nombor akaun Maybank bagi menerima sumbangan wang.

Mereka juga mengajak orang ramai menyertai mereka membeli barangan untuk mangsa banjir di pasaraya sekitar Lembah Klang, terkini di Matahari Mall di Petaling Jaya semalam.

“Pasukan ILKK akan berada di Matahari Mall mulai jam 3 petang. Sila datang secepat mungkin supaya bantuan boleh dihulurkan segera," tulis pentadbir laman itu, sambil mencatatkan nombor telefon mereka yang boleh dihubungi.

Ketika dihubungi, seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Bukharie menjelaskan, kutipan itu dimulakan rakyat biasa yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan tetapi kini menatap di Lembah Klang.

"Kami tidak melibatkan sebarang NGO atau kumpulan yang rasmi. Kami hanya rakyat biasa, dari Kuala Krai, yang tinggal di luar Kelantan.

"Memandangkan kami juga mahu membantu keluarga kami yang terperangkap di sana, kami kumpulkan semua yang ada di kawasan ini dan beli barang-barang bersama," beliau memberitahu The Malaysian Insider.

“Kami sudah ada tiga lori untuk mengangkut barang esok pagi, insyaAllah.”

Ahli perniagaan Shaun Amirthalingam, yang muncul bersama kawan-kawannya, menderma air mineral dan beberapa barangan lain selepas menerima berita dari bekas gurunya yang masih terperangkap di Kampung Kok Pasir, Tumpat, tentang betapa buruknya keadaan di sana.

"Beliau menulis di Facebooknya berkenaan keadaan banjir di sana. Pagi ini keadaan makin teruk. Kami masih berhubung walaupun kini sudah dewasa dan tinggal jauh dari sana," kata Shaun semalam.

Bagaimanapun, tidak semua yang diberikan rakyat Malaysia boleh digunakan mangsa banjir, walaupun betapa baiknya niat mereka.

Beberapa kumpulan mengutip derma menggesa orang ramai berhenti menyumbang pakaian yang buruk dan tidak lagi boleh dipakai sementara ada juga yang memberi barangan yang tidak sesuai digunakan mereka di pusat pemindahan.

Portal The Malaysia Gazette melaporkan antara barangan yang diterima ialah sepasang kasut tumit tinggi, pakaian majlis tari menari dan pakaian yang koyak rabak yang perlu diasingkan oleh para sukarela sebelum diedarkan.

- tmi


No comments:

Post a Comment